Posted by: `Izzat Anwari | Monday, 22 March, 2010

Dewan Pemuda Masjid Malaysia saman SIS Forum (Malaysia)

KUALA LUMPUR 22 Mac – Dewan Pemuda Masjid Malaysia hari ini memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap SIS Forum (Malaysia) bagi menuntut satu perisytiharan bahawa nama organisasi tersebut yang sah di sisi undang-undang bukanlah Sisters In Islam.

Saman pemula tersebut difailkan oleh Dewan Pemuda Masjid Malaysia melalui Pengarah Eksekutif dewan tersebut, Mohd. Taqiuddin Abdullah selaku pemohon dengan menamakan SIS Forum (Malaysia) selaku responden.

Dalam saman pemula itu, pemohon memohon satu perintah bahawa responden tidak dibenarkan dan dilarang daripada menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan yang menunjukkan identiti responden dalam mana-mana risalah, surat menyurat, penerbitan atau kenyataan responden sama ada di Internet, media cetak dan elektronik sehingga ia dibenarkan di sisi undang-undang.

Selain itu, pemohon turut memohon perintah memaksa responden mengeluarkan nama Sisters In Islam daripada papan tanda laman web responden, bahan-bahan cetak dan penerbitan responden dan menghalang responden daripada mengedarkan bahan-bahan terbitan, cetakan dan siaran menggunakan nama tersebut sehingga responden dibenarkan secara sah di sisi undang-undang.

Pemohon memohon kos dan relif yang perlu. – Utusan

Posted by: uranium213 | Sunday, 4 October, 2009

‘Tolak hukum Islam MURTAD’

main_1306_gw_p19a_6.4cmX12p

KUALA LUMPUR: “Kalau kita menolak hukum Islam, itu murtad namanya,” tegas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengulas cadangan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dianggotai Sisters in Islam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain supaya hukuman sebat dalam undang-undang syariah dinilai sekali gus dimansuhkan.

JAG yang dibangun atas nama pembela hak asasi manusia sebelum itu menggesa kerajaan menilai kembali dan memansuhkan undang-undang syariah yang menerapkan hukuman sebatan berikutan menurut mereka dianggap mendera selain mencabul prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggapnya kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Mereka turut mendakwa mengikut peruntukan Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah menyebut dengan jelas wanita dilarang daripada tindakan sebat sekali gus bercanggah dengan sebatan mengikut undang-undang Syariah yang aktif dijalankan Perlis, Pahang dan Kelantan.

Mengulas isu itu, Harussani berkata, Allah SWT secara terang menyebut dalam al-Quran bahawa apa yang didatangkan dan dihukum Rasullah s.a.w hendaklah diambil sekali gus diikuti, manakala larangannya perlu dipatuhi dan jangan sesekali diamalkan dalam kehidupan harian.

“Jadi hukuman ini (sebat kerana minum arak) memang disuruh Nabi Muhammad s.a.w, kenapa pula kita tidak ikut, dan mereka ini (JAG) atau Sisters in Islam ini sebenarnya menentang Islam ke, bukannya mereka mengikut ajaran Islam.

“Mereka anggap hukum Allah itu kolot ke…(sedangkan) kita ini pun dijadikan oleh Allah, cukup anggotanya, diberi akal fikiran…(tengok) betapa hebatnya Allah yang mencipta dan menghidupkan semua perkara.

“Jangan kita pula hendak memperkecilkan Allah dan hukum-Nya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengenai hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, beliau menjelaskan sebatan yang diputuskan di bawah undang-undang Islam bukan sama seperti dilaksanakan kerajaan Pusat untuk penjenayah yang melanggar undang-undang Persekutuan.

Menurutnya, sebat yang dilaksana tidak mendatangkan sakit atau kemudaratan teruk, bahkan jelas menggunakan rotan yang hanya sebesar jari, manakala tangan tukang sebat yang menghayun rotan pula diangkat tidak melebihi daripada ketiak.

“Maknanya rotan yang digunakan itu kecil, ketika menghayunkannya (untuk hukum) pula tidak boleh tinggi, menjelaskan tangan hanya diangkat sedikit saja….tidak sakitlah maknanya dan taklah seperti dibuat di penjara…terlalu berat.

“Saya nasihatkan mereka supaya janganlah buat kenyataan sebarangan, hati-hati bila berucap sesuatu, jangan sampai menyebabkan mereka terkeluar dari landasan Islam sebenar,” katanya.

Harussani turut memberitahu hukuman enam sebatan ke atas Kartika kerana kesalahan meminum arak bukan bertujuan mendera, jauh sekali mendatangkan kesakitan sebaliknya dibuat untuk mengajar dan wajar disaksikan ramai orang sebagai pengajaran bermakna.

Posted by: uranium213 | Friday, 4 September, 2009

Pluralisme di Malaysia semakin HAMPIR???

Merujuk Sinar Harian hari Selasa (1 Sept. 2009) baru-baru ini, Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok menyarankan agar Kerajaan Pusat menghapuskan ruangan bangsa dan agama dalam semua borang di negara ini sejajar dengan konsep 1Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri. “Kalau kita lihat negara maju yang lain, mereka tidak meletakkan ruangan bangsa dan agama tetapi hanya ruangan warganegara sahaja”ujar beliau.

ABABIL melihat perkara ini amat bahaya dan serius dalam usaha mem’pluralisme’kan agama-agama di Malaysia khususnya ISLAM. Jika dilaksanakan, kesannya mampu membawa perubahan yang besar kepada Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara (the Law of Land) seperti dalam perlembagaan. Kelihatan puak-puak kafir (baca: DAP) semakin menjadi-jadi sama ada secara senyap mahupun terang dalam usaha mereka menghentam serta menghapuskan Islam di Malaysia.Walaupun ini hanya saranan, namun umat Islam harus peka terhadap strategi golongan yang berkiblatkan sekularisme ini.

Firman ALLAH dalam surah Al-Baqarah ayat 120 :

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).

Saranan ini perlu dibantah segera oleh semua umat Islam agar kedudukan Islam dapat dibela dan tidak dipermain-mainkan lagi oleh pihak kafir. Ayuh umat Islam seluruhnya membantah cadangan ini. ABABIL menyeru NGO-NGO Islam lain, parti politik (PAS) dan seluruh umat Islam bersatu membantah saranan ‘kuffar’ ini. Teringat kata-kata Pak Natsir, “Sudah sempurna perpecahan kami di Indonesia” dan menyambung lagi, “Malaysia adalah benteng terakhir di rantau serumpun dan seagama ini”.

Posted by: uranium213 | Friday, 4 September, 2009

Sebatan Syariah

Sebatan Syariah

Sebatan cara diatas adalah sebatan berdasarkan peruntukan Syariah. Libasan adalah pada kadar 90° dan ia tidak disentap semula hingga boleh menjadikan kulit tersiat sebagaimana sebatan menurut peruntukan undang-undang sivil (360°). Tukang sebat itu adalah petugas terlatih yang mampu melaksanakan hukuman sebat sama ada menurut peruntukan Syariah mahu pun undang-undang sivil.

Dalam Islam, hukuman yang dikenakan bukan berbentuk penderaan tetapi semata-mata sekadar memberi pengajaran. Ini amat berbeza dengan pendekatan hukuman di mahkamah sivil.

Posted by: uranium213 | Wednesday, 2 September, 2009

Apabila liberalis nak bersuara…

Dipetik dari malaysiakini.com (25 Ogos 09/12:50pm)

Oleh :

Norhayati Kaprawi, aktivis wanita Muslim, pernah bertugas pengurus program Sisters in Islam (SIS) selama empat tahun. Penulis juga aktif bersama Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI)

Komentar : Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari atau Islam ‘hududi’?

Apapun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.

NONEAkan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarno (foto) tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.

Tambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap model sambilan itu.

Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam.

Namun, apabila timbul masalah sebenar dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam-kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu.

Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.

Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksimum?

Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia?

Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut-peragut yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian.

Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal.

Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apaabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara tujuh hari di penjara Kajang?

Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan agama Allah dan menegakkan negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan?

Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum seseorang yang mencuri akibat kemiskinan.

Lupakah mereka tentang pesanan Allah: “Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Maaidah: 39)

Malah, banyak lagi ayat Al-Qur’an yang memberikan peringatan yang sama seperti An-Nahl: 119, Al An’aam: 54, dan An Nahl: 125.

Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya?

Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.

Apakah layak Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?

Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperikemanusiaan ini ke atas Kartika?

Posted by: `Izzat Anwari | Friday, 10 July, 2009

Tentang Islam Liberal

musawah

Oleh Nurhidayah Samsudin (Ketua Unit Penyelidikan)

Islam Liberal merupakan satu bentuk penafsiran baru kepada ajaran Islam yang sedia ada. Intipati islam liberal ini lebih bermatlamat ingin merungkai Islam daripada ikatan syarak dengan menafsir semula nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah supaya lebih sesuai dengan kehidupan moden dan tuntutan peribadi. Justeru, tidak salah jika Islam Liberal dikategorikan  sebagai ajaran sesat lantaran ia lebih mendahulukan logik akal semata-mata berbanding dalil naqli. Maka, wajarlah tindakan  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke 74 pada 25-27 Julai 2006 yang lalu telah mengeluarkan fatwa bahawa Islam Liberal sesat dan haram. Read More…

Kenyataan Media: ABABIL PUMPP Gesa Jangan Mempolitikkan Isu Kesesatan Liberalisme Sisters in Islam (SIS)

15 Jun 2009

Muktamar PAS kali ke-55 yang lepas memperlihatkan usul mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas Sisters In Islam (SIS) yang membawa aliran Islam Liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan Syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya menjadi perdebatan yang hangat oleh pihak parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang lain. Isu ini semakin dipolemikkan sehingga masyarakat bertambah keliru tentang masalah yang timbul dan mungkin mengambil tindakan ‘lepas tangan’ dalam memahami persoalan akidah yang menjadi teras pegangan setiap umat Islam. Read More…

« Newer Posts - Older Posts »

Categories