Fatwa Pengharaman Islam Liberal

Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Keputusan :

i. Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

Aspek Akidah

a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

b. Akal Manusia Adalah Wahyu

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

c. Meragui Ketulinan Al-Quran

Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

ii. Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

Sumber: Portal e-Fatwa (http://www.e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view.asp?keyID=257)

Fahami Kewajaran Fatwa Islam Liberal

Oleh Mohd Aizam bin Mas’ud

Mungkin sebahagian umat Islam masih belum sedar bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke 74 pada 25-27 Julai 2006 yang lalu telah memutuskan pemikiran Islam Liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Bagi sesetengah umat Islam di negara ini, fatwa pengharaman Islam Liberal sememangnya agak kurang diketahui lantaran pengumumannya dibuat bersekali dengan fatwa pengharaman botox. Tidak dinafikan fatwa botox telah mendapat publisiti yang begitu meluas di kalangan media cetak dan elektronik arus perdana. Tambahan pula botox agak sinonim dengan kehidupan golongan artis atau selebriti kegilaan ramai. Ini sekaligus menenggelamkan fatwa Islam Liberal akibat terkesan dengan populariti isu botox yang hampir mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat negara ini.

Apa yang menarik, pengharaman botox oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JKF) mendapat reaksi yang begitu positif sehingga amat jarang sekali terdengar pihak yang mempertikai mahupun menolaknya. Ia agak berlainan pula ketika respons diberikan kepada fatwa pengharaman Islam Liberal. Kedapatan suara segelintir umat Islam yang mempersoalkan kewajarannya atas dasar ia merupakan suatu bentuk pemikiran. Pemikiran pula tempatnya adalah di akal manusia. Akal pula adalah suatu yang berbentuk rohani yang tidak boleh ditangkap atau dipenjarakan. Maka, apakah kewajarannya JKF bertindak sedemikian?

Dalam memahami kewajaran fatwa tersebut, amat tepat sekiranya umat Islam menyorot kembali saat-saat kemasukan unsur-unsur falsafah serta budaya klasik Greek dan Parsi yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Bahananya idealisme-idealisme sesat yang dahulu terpendam dek kekuatan zaman keemasan akhirnya muncul dan terus menjalar menembusi pemikiran umat Islam ketika itu.

Antara golongan yang paling jelas terpengaruh dengan aliran ini adalah puak Muktazilah. Mereka memiliki gagasan pemikiran berteraskan keutamaan akal dan mensekunderkan teks-teks al-Qur’an dan al-Hadith. Ini ditambah pula dengan kepesatan ahli-ahli falsafah Islam yang mentafsirkan nusus-nusus agama mengikut pendekatan akal dan falsafah.

Sebelum itu juga telah wujud aliran-aliran pemikiran kalam atau teologi Islam yang jelas terpesong daripada manhaj sebenar aqidah Islam seumpama golongan Khawarij, Murji’ah, Jabariyah, Qadariyah dan Syiah.

Serangan-serangan ideologi dan pemikiran sebegini akhirnya telah melonjakkan sebilangan tokoh ilmuan Islam di zaman itu untuk tampil ke tengah-tengah umat bagi menjelaskan ajaran Islam yang sebenar.

Lantaran itu lahirlah nama-nama besar seperti Imam Abu Hanifah. Beliau telah menulis kitab berjudul al-Fiqh al-Akbar dan juga risalah yang diberi judul al-Bahth ‘ ala al-Istita’ah Ma’a al-Fi’il. Kedua-dua karya berkenaan mengkritik penyelewengan fahaman Qadariyah dalam usaha menyatakan kebenaran ajaran yang dikembangkan oleh Ahli Sunah.

Manakala Imam Syafi’ie pula telah menulis sebuah risalah bertajuk Tashih al-Nubuwwah wa al-Radd ‘ala al-Barahimah dan Risalah al-Radd ‘ala Ahl al-Ahwa. Dari tajuk-tajuk ini jelas menampakkan usaha beliau memperbetulkan dan menolak kebatilan ajaran yang berasaskan Brahminisme dan para pengikut hawa nafsu.

Begitu juga Imam Malik bin Anas yang telah melibatkan diri dalam banyak perdebatan bagi mempertahankan ajaran Ahli Sunnah. Antaranya adalah ungkapan beliau tentang pengertian istiwa’. Beliau menjawab: Istiwa’ itu dimaklumi, caranya tidak boleh diimaginasi oleh akal, mengimaninya wajib, bertanya tentangnya tidak boleh (bid’ah).

Tidak ketinggalan juga Imam Ahmad bin Hanbal yang menamakan bukunya Risalah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Kandungan buku ini jelas menghuraikan aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dan pada masa yang sama membicarakan pelbagai golongan yang dianggap menyimpang dan menyeleweng daripada pendekatan pemikiran Ahli Sunnah.

Selain itu sejarah Islam juga membuktikan bahawa para khalifah Islam pernah mengharamkan bahkan bertindak tegas terhadap pembawa-pembawa fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Sebagai contoh Ma’bad al-Juhani pengasas mazhab Qadariyyah telah dihukum bunuh oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 80 hijri. Pada zaman itu juga Imam Hassan al-Basri telah mengeluarkan fatwa menegah orang ramai menghadiri majlis yang dipimpin oleh Ma’bad al-Juhani sambil menyifatkan dia adalah seorang yang sesat lagi menyesatkan.

Seorang lagi pengikut mazhab Qadariyyah yang dihukum mati adalah Ghailan al-Dimasyqi iaitu pada zaman Khalifah Hisham bin Abdul Malik. Pada zaman Khalifah Hisham juga baginda telah menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pembawa mazhab Jabariyyah iaitu Ja’d bin Dirham pada tahun 120 hijri. Jaham bin Safwan, iaitu murid kepada Ja’d bin Dirham juga menerima nasib yang sama apabila dia juga dijatuhi hukuman bunuh pada zaman Bani Umayyah atas arahan Gabenor Khurasan pada tahun 128 hijri.

Manakala pengharaman buku atau kitab, ia sememangnya tidak berlaku pada zaman awal penulisan atau pengarangan kitab memandangkan ia tidak begitu relevan untuk dilakukan oleh pemerintah. Ini kerana pada zaman tersebut belum terdapat sebarang bentuk teknologi percetakan tetapi yang wujud hanyalah penulisan berbentuk penyalinan dengan tulisan tangan. Hal ini menyebabkan pengedaran ilmu melalui kitab adalah terhad berbanding penyebaran ilmu melalui majlis-majlis menadah kitab (talaqqi).

Oleh itu tidak timbul soal pengharaman buku atau kitab di zaman Rasulullah SAW, para Sahabat mahupun di zaman Khilafah Bani Umayyah dan Khilafah Bani Abbasiyyah memandangkan tiada keperluan berbuat demikian oleh pihak pemerintah.

Namun pada zaman ini adalah menjadi suatu kebiasaan bagi institusi agama berautoriti mengeluarkan arahan pengharaman buku-buku tertentu demi menjaga kesucian pemikiran umat Islam. Sebagai contoh Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar yang dipimpin oleh Syeikh al-Azhar sendiri telah banyak kali mengeluarkan keputusan-keputusan rasmi mengenai pengharaman kitab-kitab tertentu yang dilihat boleh membahayakan aqidah Islam di samping boleh memecahbelahkan umat Islam.

Hakikatnya, keputusan fatwa pengharaman Islam Liberal oleh JKF merupakan lambang kepada fungsi yang dimainkan oleh kerajaan sebagai pemerintah Islam yang diamanahkan untuk menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Bagi golongan pemerintah Islam mereka bertindak berasaskan konsep siyasah syar’iyyah iaitu demi menjamin kesucian agama di samping membangunkan urusan dunia (hirasat al-din wa ‘imarat al-dunya). Melalui konsep tersebut maka pengharaman pemikiran-pemikiran tertentu adalah salah satu cara yang digunakan oleh pemerintah demi menyekat jalan-jalan (sadd al-zari’ah) yang boleh merosakkan aqidah dan pemikiran umat Islam.

Memang diakui bahawa pemikiran adalah hak asasi setiap individu yang berakal. Ia sekali-kali tidak boleh disentuh atau diusik walau diperlaku bagaimana sekalipun. Namun bukankah dengan pemikiran lahirnya segala tingkah laku dan amal perbuatan. Jika tidak masakan hadith Rasulullah SAW mengatakan:

Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat.

Oleh kerana itulah maka Islam sedari awal telah menolak setiap pemikiran atau niat yang menyeleweng kerana ia sudah tentu melahirkan perbuatan yang sama jua.

Sumber: Unit Perhubungan Awam JAKIM (http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=2599)

Responses

  1. salam..
    saya harap anda akan add link blog http://suarajagat.wordpress.com di sini.

    blog saya fokus tentang masalah ajaran sesat, penyelewengan akidah dah isu islam liberal di Malaysia.

    harap kita saling membantu dalam menghapus kemungkaran


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: