Posted by: `Izzat Anwari | Tuesday, 3 June, 2008

Menjawab Kenyataan TM Kesihatan dan SIS

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

Sudah menjadi lumrah manusia sentiasa mencari jalan sendiri untuk menyelesaikan masalah tanpa merujuk kepada kumpulan atau individu yang lebih berautoriti. Situasi ini lebih sangat jelas dalam perkara berkaitan agama. Ayat-ayat al-Qur’ān ditolak dengan senyap-senyap, hadith disoal kesahihannya walaupun sudah ternyata kebenaran, saranan ulama’ dilayan seperti kanak-kanak. Maka golongan yang tidak arif dalam membuat keputusan bagi perkara-perkara berkaitan Islam mula menunjukkan kehebatan mereka dalam hukum-hakam syari‘at Islam.

Memetik kata-kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dalam The Star;

In view of the rising number of women contracting HIV, every woman should carry a condom with her for her own protection

Walaupun kenyataan beliau ini adalah saranan untuk mengelakkan jangkitan HIV, namun kata-kata ini boleh dijadikan ‘fatwa’ kepada masyarakat umum seolah-olah Kementerian Kesihatan yang mewakili kerajaan menghalalkan penzinaan tetapi dengan syarat memakai kondom. Sebagai seorang timbalan menteri, beliau wajar menimbang natijah kenyataan yang dibuatnya itu. Jika kurang arif dengan perkara tersebut, beliau sepatutnya meminta pihak media menangguh dahulu temuramah dengan persoalan yang menyentuh Islam.

Norhayati Kaprawi dari Sisters In Islam (SIS) menyokong kenyataan Dr Abdul Latiff dalam laporan The Star yang lain;

Women’s groups have come out in support of the Health Ministry for promoting the use of condoms to combat HIV, but say practising safe sex is the responsibility of both men and women

Apakah yang dimaksudkan dengan seks selamat dalam kenyataan Norhayati Kaprawi? Menghalalkan seks dengan syarat menggunakan kondom? Apa sudah jadi dengan pertubuhan yang menggunakan nama Islam ini? Malah Norhayati Kaprawi menambah:

We hope the ministry allocates a bigger budget for free condoms for those who need it, like drug abusers and their partners

Kenyataan ini sekaligus menunjukkan keseriusan SIS dalam membawa agenda membenarkan seks bebas atas alasan seks selamat dengan kondom. Golongan kanak-kanak dan remaja yang kurang ilmu agama pastinya akan menyahut seruan ini malah menjadikan pernyataan Datuk Dr Abdul Latiff dan Norhayati Kaprawi sebagai imunisasi dalam melakukan perbuatan terkutuk ini. Sekiranya remaja ini tertangkap akibat perbuatan zina, mereka tidak akan berasa takut kerana kenyataan dari 2 orang di atas boleh dijadikan sandaran.

Tidak dinafikan, menurut Maqasid al-Sharī‘ah, dalam Dharuriyyat al-Khams, menjaga nyawa menjadi keutamaan jika dibandingkan dengan menjaga keturunan atau maruah dalam perkara-perkara yang darurat tetapi kedua-dua ini sama tinggi tarafnya dalam syari‘ah. Namun dalam konteks yang dibincangkan ini Allah SWT telah meletakkan garis yang sangat jelas kepada manusia dalam firman-Nya:

Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya

[QS al-Nūr 24:30-31]

Tidakkah jelas ayat-ayat Allah SWT dalam membawa manusia kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat? Sikap manusia itu sendiri yang ingin memilih jalan yang membawa keuntungan kepada diri sendiri dan tidak terikat dengan ajaran Islam. Jika ayat-ayat Allah SWT ini dinafikan sama ada secara terang-terangan mahupun senyap-senyap, ambil masa dan mengucap dua kalimah syahadah kembali.

Allah SWT meletakkan garis yang sangat selamat kepada umat manusia dalam menjaga keturunan dan maruah melalui larangan daripada berzina dalam firman-Nya:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

[QS al-Isrā’ 17:32]

Jika zina tidak boleh dihampiri, apatah lagi melakukannya! Hanya manusia yang benar-benar beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar iman yang akan mengikut perintah Allah SWT ini.

Ulasan kedua-dua pihak di atas mengenai kebebasan melakukan seks dengan syarat menggunakan kondom berbau liberal. Malah banyak kenyataan Islam Liberal yang jelas menolak ayat-ayat al-Qur’ān dan al-Hadīth secara terangan mahupun senyap-senyap. Lebih menggerunkan lagi ada juga di antara pendukung Islam Liberal ini menyalah-tafsir ayat-ayat al-Qur’ān dan menyeleweng maksud hadith untuk kepentingan peribadi mereka.

Saranan saya kepada Datuk Dr Abdul Latiff dan Norhayati Kaprawi supaya mereka menarik balik kenyataan yang dibuat dan kajian mengenai gejala AIDS ini harus dibuat secara menyeluruh termasuk penglibatan secara langsung golongan ulama’ disamping pengamal perubatan serta ahli yang berkewajipan dalam menangani masalah ini. Sebagai seorang doktor yang beragama Islam dan seorang aktivis pertubuhan yang menggunakan nama Islam, seharusnya situasi ini diteliti terlebih dahulu tanpa membelakangi Islam itu sendiri.

Dalam kenyataan yang sama, Datuk Dr Abdul Latiff berkata:

I urge the Malay leaders and the Malay non-governmental organisations to come forward to champion this cause

Dan saya sanggup ke hadapan untuk sama-sama berbicara tentang perkara ini.

Mari sama-sama kita renungi nasib umat Islam di Malaysia jika situasi ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Na‘uzubiLlah.


Responses

  1. Alhamdullilah

    Suatu peringatan yang terang lagi nyata,diwaktu masyarakat leka dengan maksiat dan dosa..

    Teruskanlah saudara ku,ingatkanlah saudara seagama kita..jangan lalai,dan jangan leka..

    kelak bala pasti menimpa..

    Marilah kita bersama mencari keredhaan-NYA..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: